3.11.10

Nombor Telefon Selular Format Baru 3 + 8

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengumumkan bahawa Malaysia kini di dalam proses melaksanakan nombor telefon selular dengan format baru iaitu 3 + 8. Pengumuman tersebut dibuat pada satu sesi taklimat kepada pihak industri, badan-badan kawalselia, pihak media, forum-forum pengguna dan pihak yang berkaitan bagi memudahkan pemahaman mereka terhadap perlaksanaan format baru perkhidmatan telefon selular ini.

Nombor telefon selular baru tersebut bermula dengan prefik-011 dan diikuti oleh lapan digit nombor pelanggan, iaitu 011 1XXX XXXX, akan dilancarkan pada 15 Disember 2010.

Ini merupakan langkah perancangan jangka panjang SKMM setelah mengambil kira jumlah nombor bagi perkhidmatan telefon selular sedia ada iaitu format 3 + 7, semakin berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan industri pada masa hadapan. Perlaksanaan ini juga ekoran dari perkembangan terkini dengan peningkatan bilangan pembekal perkhidmatan rangkaian selular dan potensi kepelbagaian perkhidmatan yang bakal diperkenalkan hasil dari perkembangan teknologi telekomunikasi.

SKMM mengambil pendekatan yang lebih komprehensif dalam melaksanakan format baru ini dengan mengadakan rundingan dan kerjasama yang erat dengan semua pembekal perkhidmatan komunikasi agar inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam ucapannya, Dato’ Jailani Johari, Ketua Pegawai Kawalselia dan Pengawasan SKMM menjelaskan, “Projek ini merupakan langkah awal pihak SKMM bagi melaksanakan format baru telefon selular dengan 8 digit nombor pelanggan. Berdasarkan pelan perancangan penomboran nasional, semua nombor bagi perkhidmatan telefon mudah alih akan dimigrasikan kepada 8 digit yang akan dilaksanakan melalui fasa berperingkat mengikut keperluan dan SKMM akan memaklumkan semua yang terlibat dari masa ke semasa berhubung keputusan tersebut”.

SKMM telah menubuhkan satu kumpulan kerja yang turut dianggotai oleh pihak industri yang terlibat bagi mengenalpasti isu-isu yang berkaitan dengan pelan perlaksanaan tersebut. Kumpulan kerja yang diketuai oleh SKMM juga membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempercepatkan lagi proses perlaksanaannya kerana ia melibatkan impak yang besar kepada semua pengusaha perkhidmatan telekomunikasi dan juga pengguna.

“Kerajaan, melalui SKMM, telah bekerjasama dengan industri dalam membawa perlaksanaan format baru ini kepada pengguna dan akan terus memantau perkembangan persiapan dan ketersediaan pihak yang terlibat. Ini kerana ia melibatkan pelbagai sistem dan rangkaian pembekal perkhidmatan yang berbeza. Perkara seperti ini perlu diurus
dengan baik termasuklah menaiktaraf atau menukar sistem dan rangkaian yang sedia ada bagi membolehkan projek ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan kepada perkhidmatan yang sedia ada.” tambah beliau lagi.

SKMM menyarankan agar semua pihak yang terlibat dalam projek ini memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan kejayaan perlaksanaan format baru perkhidmatan telefon selular ini kerana ia merupakan satu daripada inisiatif strategik kerajaan bagi meningkatkan lagi peratus penembusan jalur lebar negara.

Sumber : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

0 ulasan: